IXEX1309 ASAS AKIDAH ISLAM
NAMA :
SUARDI BIN SYAMSURI
(VES 070126)
FAKULTI:
PUSAT SUKAN
SESI PENGAJIAN/SEM:
2009/10, 2
TARIKH HANTAR:
05/04/2010
PENSYARAH:
USTAZ FAIZURI BIN ABD. LATIF
NAMA :
SUARDI BIN SYAMSURI
(VES 070126)
FAKULTI:
PUSAT SUKAN
SESI PENGAJIAN/SEM:
2009/10, 2
TARIKH HANTAR:
05/04/2010
PENSYARAH:
USTAZ FAIZURI BIN ABD. LATIF
TAJUK TUGASAN:
(SOALAN NO.8)
LANGKAH-LANGKAH TERBAIK UNTUK MENGEMBALIKAN UMAT ISLAM MALAYSIA KEPADA AKIDAH YANG SEBENAR.

KANDUNGAN BAB
1.0 PENDAHULUAN
2.0 DEFINISI AKIDAH
3.0 AKIBAT KEPINCANGAN AKIDAH UMAT ISLAM
3.1 Mengingkari sifat Rububiyyah atau mencelanya.
3.2 Mengingkari atau mencela Asma’Allah dan sifat-sifatNya.
3.3 Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah.
3.4 Mengingkari atau mencela Rasulullah s.a.w. atau kerasulannya.
4.0 FAKTOR KEPINCANGAN AKIDAH
4.1 Sistem pendidikan yang tidak memberi kesan kepada jiwa.
4.2 Sistem keluarga Islam tidak dipraktikkan.
4.3 Pengaruh media massa.
4.4 Makanan yang membinasakan aqidah.
5.0 LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN
5.1 Bincangkan Islam melalui pengajaran moden
5.2 Menanamkan aqidah dalam diri anak-anak
5.3 Menyemai kefahaman aqidah secara tidak langsung.
5.4 Ikhlas memperbanyakkan amalan sunnat
5.5 Sentiasa memohon keampunan
5.6 Memperbanyakkan ilmu pengetahuan akhirat dan duniawi
6.0 KESIMPULAN
7.0 RUJUKAN
1.0 PENDAHULUAN
Dalam Susana dunia yang semakin mencabar, ramai manusia berebut-rebut mengejar kekayaan, kemewahan dan kesenangan duniawi tanpa memperdulikan lunas-lunas ajaran agama. Apa yang penting bagi mereka, kekayaan, kemewahan dan kesenangan mesti diperolehi semaksimum yang boleh. Kini, saban hari kita didengarkan dengan pelbagai isu seperti ajaran sesat, pelacuran, rogol dan pelbagai lagi aktiviti yang tidak sihat. Jika keadaan ini terus berlaku, maka keruntuhan akidah dikalangan umat Islam akan menjadi berleluasa.
Seringkali kita mendengar di dada-dada akhbar Malaysia yang menyentuh mengenai kerosakan akidah umat islam di negara ini. Kerosakan akidah itu bukan hanya melibatkan kepada golongan kanak-kanak, remaja mahupun belia, malahan turut berlaku kepada golongan yang lebih berumur. Bentuk-bentuk kerosakan akidah umat islam boleh berlaku melalui sesuatu perbuatan atau tindakan dan perkataan secara lisan atau dalam hati. Antara bentuk kerosakan akidah yang seringkali berlaku dikalangan umat islam di Malaysia ialah murtad, berzina, mensyirikkan Allah S.W.T. dan ajaran sesat dan sebagainya.
Masyarakat islam Malaysia tanpa disedari, ilmu agama yang dididik dalam jiwa anak-anak semasa masih kecil akan mudah hilang secara perlahan-lahan. Lihat saja golongan remaja dan belia malaysia sekarang. Golongan ini dari peringkat sekolah menengah hinggalah ke universiti turut terlibat dalam gejala sosial yang serius. Masalah ini seringkali dikupas di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen tetapi kupasannya tidak mendalam. Jika ditelusuri, pokok permasalahan ini bukan hanya melibatkan institusi-institusi kekeluargaan, pendidikan, kerajaan atau undang-undang tetapi persoalan aqidah dalam diri individu terbabit yang perlu dipersoalkan. pegangan aqidah yang mantap mampu diterobos oleh gangguan-gangguan luar yang bersifat duniawi dan semestinya melalaikan.
Riddah (murtad) merupakan ‘bench mark’ kepada keruntuhan aqidah paling serius yang boleh berlaku dalam kalangan umat Islam keseluruhannya. Isu ini kerap dibincangkan dalam masyarakat umum apatah lagi golongan ilmuan beberapa waktu yang lalu. Kes Lina Joy . serta beberapa lagi individu lain seperti Natrah . dan Aisyah Bukhari pernah menggemparkan masyarakat Islam. Persoalan murtad adalah persoalan yang penting diketahui oleh semua umat Islam kerana rentetan daripada peristiwa ini, kehidupan dan masa depan umat Islam akan turut sama terlibat.
Budaya hedonisma (pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup) kini semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja dan belia. Pemikiran dan tindakan mereka akan dipengaruhi dan hasilnya, lahirlah golongan yang hidup seakan bertuhankan dunia dan nafsu. Program-program berbentuk ilmiah dan akademik kurang mendapat sambutan. Sebaliknya, program-program sukan, permainan dan hiburan menjadi pilihan. Lihat sahaja perbezaan bilangan dan golongan penonton yang hadir untuk rancangan Akademi Al-Quran berbanding rancangan hiburan Geng Starz ataupum akademi fantasia. Situasi ini pernah dikupas dalam majalah Mastika.
Sekitar tahun 2000-an negara pernah dikejutkan dengan pendedahan oleh media masa tentang segelintir peminat fanatik musik Black Metal ini yang terlalu taksub apabila mereka melakukan perbuatan seperti memijak Al Quran. Jelas sekali perbuatan mereka ini menghina agama dan memesongkan aqidah. Kumpulan kecil Black Metal yang ekstrim ini bukan hanya menghina agama Islam, malah mereka ini menghina semua agama samawi, dimana ada yang memakai salib dengan diterbalikkan, dan mereka memuja syaitan. Pemesongan aqidah turut berlaku dalam kumpulan kecil yang menggelarkan diri mereka kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT). Kandungan ajaran JIT juga mirip kepada Black Metal - menghina kitab suci al-Quran yang menjadi amalan asas kepada setiap ahli yang menyertai kumpulan itu. Antara ciri-ciri kerosakan akidah yang biasa wujud dalam masyarakat kita iaitu:
Melakukan amalan yang termasuk menyembah/mengabdikan diri/menghambakan diri kepada selain Allah.
a) Menafikan sifat tersendiri bagi Allah.
b) Mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah.
c) Menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk.
Selain itu, terdapat perkara-perkara lain yang juga merosakkan akidah, namun jarang dilihat wujud dalam masyarakat kita contohnya tidak mentaati syariat Islam dengan berserta memperlekeh hukum-hukumnya atau mempermain-mainkan hukum-hukumnya, menafikan Nabi Muhammad S.A.W. adalah pesuruh Allah dan diutus sebagai nabi terakhir serta beberapa ciri lain.
2.0 DEFINISI AKIDAH
Perkataan akidah itu menurut maksudnya adalah merujuk kepada kepercayaan atau keyakinan. Agama pula adalah kepercayaan kepada tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaannya. Antara akidah dan agama itu adalah satu perkaitan yang seiringan. Semakin kuat pegangan agama seseorang semakin teguh akidahnya.
Rujukan atau mengenai istilah aqidah Islam tentu tidak terlepas daripada rujukan dan sumbernya. Kerana aqidah itu sifatnya adalah tauqifiyah yang mengharuskan adanya dalil ketika beriman dengannya. Maka sebelum masuk pembahasan lebih lanjut yang berkaitan dengan aqidah, berikut akan dijelaskan hal-hal yang berkaitan dengan aqidah yang diambil dari kitab Tahdzib. Tashil Aqidah Al-Islam karya Syaikh Abdulloh ibn Abdul Aziz Al-Jibrin.
Di pembahasan awal kitab, beliau menjelaskan beberapa permasalahan yang perlu diketahui yang berkaitan dengan aqidah Ahlul Sunnah wal Jamaah. Hal tersebut dirangkumkan menjadi beberapa permasalahan diantaranya :
a) Penjelasan tentang istilah-istilah dari aqidah dan pengertiannya
b) Karakteristik dari aqidah Islam
c) Sikap pertengahan Ahlu Sunnah wal Jamaah diantara firqoh-firqoh sesat
Bagi pembahasan yang pertama yakni Penjelasan tentang istilah-istilah aqidah dan pengertiannya. Syaikh Al-Jibrin menerangkan pengertian aqidah dari sisi bahasa ialah sebuah kata yang berasal dari kata 'aqad yang bererti mengencangkan, mengikat, menguatkan dan kukuh. Adapun pengertian dari sisi istilah ialah keimanan yang kukuh kepada Allah Yang Maha Tinggi. Kemudian beliau juga menjelaskan termasuk diantaranya ialah rukun iman yang enam. Mulai dari beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Para RasulNya, Kepada Hari Akhir dan kepada Takdir Baik dan Takdir Buruk. Termasuk diantara cabang pada permasalahan ini dikelompokkan ke dalam permasalahan Ushuludin
Para salaf telah banyak menyebutkan berkenaan dengan penamaan dari aqidah yang shahihah ini. Diantara nama yang disebutkan ialah Sunnah. Ini untuk membedakan diantara aqidah, perkataan firqoh-firqoh yang sesat. Karena aqidah yang shahih -Aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah- diambil dari Sunnah Nabi Sholallohu Alaihi wa Salam yang mana hal tersebut merupakan penjelasan daripada Al-Qur'an. Para salaf telah menyusun kitab yang diberi judul As-Sunnah diantaranya ialah Kitab As-Sunnah yang dikarang dan disusun oleh Imam Ahmad Ibn Hambal. Kemudian Kitab As-Sunnah karya Ibn Abi Asim dan selain dari mereka berdua.
Disisi lain, para ulama juga menamakan aqidah ini dengan nama Ushuluddin. Ini merupakan agama Nabi Sholallohu Alaihi Wa Salam yang terbagi menjadi keyakinan dan amaliah. Yang dimaksudkan dengan amaliah adalah ilmu syar'i dan hukum-hukum yang berkaitan dengan tata cara beramal. Sebagaimana hukum solat, zakat, jual beli dan selainnya. Hukum solat, zakat, jual beli dan selainnya bersifat cabang atau kita sebut sebagai cabang dari aqidah. Karena aqidah adalah semulia-mulia ketaatan dan benarnya aqidah merupakan syarat dari diterimanya ibadah dan amaliah. Apabila aqidah rusak maka tidak diterima ibadahnya dan menjadi batal pahalanya. Sebagaimana firman Alloh Ta'ala :
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. "Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." (Az-Zumar : 65)
Kemudian para ulama juga menamakan atau merujuk kepada aqidah ini ialah dengan nama Fiqhul Akbar. Hal ini kerana aqidah merupakan pokok dari agama. Malahan, fiqh dalam amal dinamakan Fiqh Asghor. Dan kitab pertama yang ditulis secara khusus yang berkaitan dengan aqidah adalah Kitab Fiqhul Akbar karya Imam Abu Hanifah.
Aqidah merupakan maksud lain bagi iman dengan makna tasdiq(membenarkan) . Tasdiq berlaku melalui i’tiqad dengan hati, berikrar dengan lidah serta mengamalkan dengan perbuatan, segala ajran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.dari sisi Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
‘Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikatnya, kitab-kitabnya, rasul-rasulnya, hari akhirat dan kamu beriman kepada ketentuan baik dan buruk.’ (riwayat Muslim)
Jelaslah aqidah merupakan aspek terpenting dalam kehidupan seorang manusia yang bergelar Muslim kerana di dalamnya terangkum asas kepercayaan berkaitan ketuhanan serta amalan ibadah yang perlu dilakukan sepanjang hidupnya di dunia ini.
Menurut Abdul’al Salim Makram , perkataan ‘aqdun dalam bahasa Arab mempunyai dua maksud. Maksud pertama ialah ‘janji yang kuat’ manakala maksud yang kedua ialah ‘sesuatu yang menguatkan serta mengukuhkan.’ Ulasnya lagi, aqidah mampu memelihara seseorang daripada kegagalan dan kehancuran kerana aqidah sesungguhnya merupakan benteng kepada iman. Aspek akidah islam ialah:
1. Ar-Rububiyyat: Mentauhidkan Allah sebagai pencipta, pemilik dan penguasa alam.
2. Al-Uluhiyyat: Mentauhidkan Allah yang bersifat dengan sifat kesempurnaan, hanya Allah sahaja yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahnya dan tempat memohon doa.
3. An-Nubuwwat: Perutusan para nabi dan rasul yang membawa ajaran Allah untuk disampaikan kepada umat manusia.
4. As-Samiyyat: Perkara-perkara ghaib yang tidak dicapai oleh pancaindera manusia, seperti dosa, pahala syurga,neraka.
Manakala Sumber utama akidah Islam ialah:
1. Al Quran:
Iaitu kalam Allah (wahyu Allah) yg diturunkan kpd Nabi Muhammad
2. Hadis Nabawi:
Iaitu setiap Perkataan / Ucapan , Perbuatan, Pengakuan & Sifat Rasulullah S.A.W.
Nama-nama lain ilmu akidah ialah:
1. Ilmu tauhid.
2. Ilmu Usuluddin.
3. Ilmu Makrifah.
4. Ilmu kalam.
Oleh hal demikian Bukti kesempurnaan akidah seseorang itu ialah, seseorang itu melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala laranganNya. Maksud akidah yang betul ialah kepercayaan yang betul berlandaskan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Manakala Maksud akidah yang salah ialah kepercayaan yang berlawanan dengan al-Quran da as-Sunnah.
3.0 AKIBAT KEPINCANGAN AKIDAH UMAT ISLAM
Implikasi terbesar yang terkesan akibat kerosakan aqidah ialah terkeluarnya seseorang itu daripada agama Islam atau terbatal imannya. Menurut Haji Abdul Hadi Awang, perkara ini boleh berlaku melalui cara-cara berikut:
3.1 Mengingkari sifat Rububiyyah atau mencelanya.
Al-Quran telah menjelaskan tauhid Rubbiyyah dalam empat perkara iaitu segala bentuk pujian hanya layak ditujukan kepada Allah, pernyembahan termasuk segala bentuk ibadah yang dikerjakan hanya untuk Allah, iman dan keyakinan serta berserah sepenuhnya hanya kepada Allah dan Dialah satu-satunya yang mempunyai sifat-sifat Agung dan Asmaul Husna.
3.2 Mengingkari atau mencela Asma’Allah dan sifat-sifatNya.
Terdapat dua cara mengkafirkan sifat Allah dan Asma’Nya iaitu kafir nafi dan kafir ithbat. Kufur nafi ialah menafikan sifat-sifat Allah seperti menafikan ilmuNya, qudratNya atau sifat-sifat lain yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kafir ithbat ialah menetapkan pelbagai sifat kekurangan atau sifat mustahil bagi Allah sedangkan Allah s.w.t dan RasulNya telah menafikan sifat itu. Contohnya menyatakan Allah s.w.t mempunyai anak, isteri atau sekutu dan sebagainya.
3.3 Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah.
Tauhid Uluhiyyah adalah iktikad secara putus bahawa Allah s.w.t adalah Ilahul Haqq(yang berhak disembah) dan tidak ada Tuhan selainNya. Oleh itu, tauhid Uluhiyyah jelas ditegakkan di atas prinsip ‘ibadat secara ikhlas kepada Allah satu-satunya’ , baik dalam batinnya mahupun dalam lahirnya, dan tidak menjadikan sesuatu ibadat untuk tujuan selain Allah s.w.t.
3.4 Mengingkari atau mencela Rasulullah s.a.w. atau kerasulannya.
Maksudnya di sini ialah perkataan atau perbuatan i’tiqad yang menafikan atau mencela kerasulan atau peribadi orang yang menjadi Rasul s.a.w. dan mengingkari apa-apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti syurga, neraka dan perkara-perkara ghaib yang lain. Selain itu, Al-Quran juga tidak boleh diingkari kerana Al-Quran itu disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dari sisi Allah s.w.t.
Tiada batasan atau perbezaaan antara norma-norma kehidupan beragama Islam dengan agama kaum kafir. Tingkah-laku dalam pergaulan dan adab berpakaian adalah perkara yang sering ditonjolkan atau mudah dilihat di mata umum. Budaya berfesyen ala Barat yang kononnya ‘up to date’ mudah mempengaruhi minda remaja yang bersifat ingin mencuba. Malang sekali, maruah agama turut digadaikan bersama-sama maruah diri. Kerosakan aqidah boleh menyebabkan tiada had yang ditetapkan sedangkan Islam adalah panduan hidup yang menyeluruh.
Sekularisma (dokrin/pendirian yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia) mula berleluasa. Pendidikan agama Islam yang dipelajari di sekolah tidak menjamin pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian. Hasilnya, wujudlah situasi di mana pelajar Islam memakai seluar pendek ketika bersukan, menyarung jersi sukan dengan lambang salib dan seribu satu perbuatan lain yang bersifat sekular tetapi tidak tertonjol dan tidak diperhalusi akibat daripada perlakuan tersebut.
4.0 FAKTOR KEPINCANGAN AKIDAH
Aqidah seseorang boleh rosak melalui Perkataan, Perbuatan dan Hati.
PERKATAAN
• Menghina Islam spt mencela Allah.Al Quran dan Hadis
• Mengubah hukum dengan perkataan spt menolak kewajipan solat fardu dan menolak kewajipan menutup aurat
• Bersumpah dengan selain nama Allah spt demi bulan matahari
• Menyanyi lagu-lagu yang liriknya bertentangan dengan akidah
PERBUATAN
• Menyembah selain daripada Allah spt berhala , pokok,syaitan dll
• Memakai lambing mana-mana agama spt salib
• Menghina Al Quran spt mengoyak,memijak,mencampak
• Menyertai upacara agama lain spt upacara penyembahan berhala dan penyucian dosa (babtis) di gereja
• Sujud selain daripada Allah spt sujud kpd manusia , batu dll
HATI
•Meyakini bahawa alam ini terjadi dengan sendiri
• Percaya bahawa pencipta alam ini sama seperti makhluk lain
• Ragu-ragu dgn rukun Iman, rukun Islam dan hukum Islam
• Berniat keluar daripada Islam
4.1 Sistem pendidikan yang tidak memberi kesan kepada jiwa.
Sekularisma dalam sistem pendidikan di Malaysia merupakan perkara yang kurang disedari oleh semua. Pada masa sekarang, pendidikan berunsur ilmu logik seperti sains amat ditekankan dan penguasaan pelajar ke atas subjek tersebut boleh dibanggakan tetapi apakah kayu pengukur sebenar yang digunapakai untuk menilai tahap pemahaman pelajar? Tidak ada gunanya jika ilmu dinilai hanya pada sekeping kertas peperiksaan atau sekeping surat tawaran bekerja dalam bidang yang dipelajari dahulu tetapi penghayatan ilmu dalam kehidupan seharian tidak ada. Sepatutnya, ilmu yang dipelajari merupakan mangkin untuk mengenal Pencipta yang mencipta ilmu tersebut tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ilmu dipelajari untuk kepuasan fizikal dan bukannya jiwa. Rujuk juga 2.0 Benarkah Sistem Pendidikan Di Malaysia Telah Disekularkan?.
4.2 Sistem keluarga Islam tidak dipraktikkan.
Sedar ataupun tidak, budaya barat semakin diserap masuk ke dalam sesebuah institusi kekeluargaan. ‘Trend’ menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita sedangkan wajarkah kita memperlakukan mereka yang melahirkan dan membesarkan kita sedemikian rupa?. Lebih menyayat hati terdapat kes ibu membunuh anaknya sendiri dan tidak kurang hebatnya apabila ada anak yang membunuh ibu bapanya sendiri. Ke manakah pergi nilai-nilai kekeluargaan serta pengamalan nilai murni dalam institusi keluarga tersebut?. Sekiranya sistem keluarga Islam dipraktikkan, kepercayaan aqidah dalam diri ahli keluarga dapat disuntik dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Maka lahirlah individu cemerlang dari institusi kekeluargaan Islam yang menekankan sikap saling menghormati, menyayangi, melindungi dan mempercayai antara satu sama lain.
4.3 Pengaruh media massa.
Kerosakan aqidah kian meruncing dengan pengaruh media masa dan media cetak yang kerap kali menyogok unsur hiburan yang melampau. Penonton pula didapati rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan belia yang mudah terpengaruh dan mudah terikut dengan budaya kuning. Rancangan hiburan sudah menjadi tarikan utama untuk menarik lebih ramai penonton.
4.4 Makanan yang membinasakan aqidah.
Makanan yang halal dan baik (halalan thoiyyiba) boleh memberi kesan kepada jasmani dan rohani seseorang. Selain itu, keberkatan dalam pemakanan akan menyebabkan badan mampu melakukan aktiviti fizikal manakala dari sudut ruhaniahnya, pemikiran, jiwa dan akhlak yang sepadan dengan fizikal akan terbina. Produk makanan yang tidak baik boleh melemahkan umat Islam secara umumnya kerana proses penghasilan tidak mengikut piawaian Islam. Hasilnya, wujudlah golongan yang cintakan dunia dan kejahatan lebih dari akhirat serta hati menjadi gelap dan sukar dididik.
5.0 LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN
5.1 Bincangkan Islam melalui pengajaran moden
Ilmu Islam adalah pembuka kepada ilmu-ilmu lain. Seorang pendidik yang beragama Islam haruslah pandai dan mampu menyampaikan bidang ilmu yang diajar bersama dengan ilmu aqidah Islam, tidak sepertimana yang berlaku dalam sistem pendidikan negara kita sekarang ini. Al-Quran seharusnya dijadikan sumber rujukan utama kerana di dalamnya mengandungi fakta-fakta saintifik yang tidak ada dalam kitab suci yang lain. Melalui penggunaan kaedah pengajaran moden yang digunapakai pada zaman ini, ilmu aqidah dapat disampaikan secara langsung dan pendekatan saintifik terhadap Al-Quran akan lebih menarik minat pelajar untuk mengkajinya.
Selain ilmu sains, Al-Quran juga harus menjadi sumber rujukan utama bagi bidang-bidang sosial lain seperti perundangan, ekonomi dan sistem bermasyarakat. Di sini juga ingin penulis tekankan bahawa setiap ‘cikgu’ atau ‘guru’ Muslim adalah ustaz(guru lelaki) dan ustazah(guru perempuan) secara tidak langsung. Seharusnya peranan ‘cikgu’ atau ‘guru’ tidak dibezakan dengan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ walaupun bahasa asal perkataan-perkataan ini adalah berbeza. Islam itu perlu berada di mana-mana, pada ‘cikgu’, ‘guru’, ‘ustaz’, ‘ustazah’ selagimana mereka ini adalah Muslim.
5.2 Menanamkan aqidah dalam diri anak-anak
Sebenarnya pendidikan awal adalah bermula dari rumah, bukan dari sekolah. Keluarga mestilah mendidik anak-anak dengan ajaran agama yang betul. Aspek yang mesti diajar kepada anak-anak adalah berkaitan dengan kepercayaan. Rukun iman dan Rukun Islam yang menjadi asas akidah Islam itu adalah perkara asas yang wajib diajarkan kepada anak-anak. Dengan adanya asas yang kukuh dalam diri seseorang itu, ini akan dapat menghindari dari melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah.
Antara perkara yang telah ditekankan oleh para ulama pendidikan dan akhlak, bahawa anak-anak yang dilahirkan adalah atas kefitrahan tauhid serta aqidah keimanan terhadap Allah s.w.t. dilahirkan bersih dan suci. Lantaran itu apabila dibekalkan dan dilengkapkan dengan pendidikan yang betul dari rumah, kemudiannya dibiarkan anak-anak itu bergaul dengan golongan yang baik-baik, orang mukmin yang terpelajar, kelak apabila ia dewasa, anak-anak ini akan menjadi insan yang berguna dan mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang terpuji serta pendidikan yang baik.
Pengabdian diri kepada Allah s.w.t. adalah tugas utama manusia di muka bumi ini. Bagi memahami peri-pentingnya tugas ini, konsep aqidah harus disemai sejak dari kecil lagi, agar anak-anak tersebut apabila membesar kelak telah mempunyai akidah yang kukuh dan tidak mudah goyah dengan pengaruh duniawi yang merosakkan. Mungkin ada yang bertanya pada usia berapakah anak sesuai diajari ilmu aqidah atau ketuhanan. Menurut Drs. Syahrin Nasution , sejak anak itu pandai bercakap (lebih kurang umur dua tahun), ibu bapa sudah boleh mengajar mereka mengucapkan kalimah-kalimah seperti berikut:
a) Bismillah - sebelum makan, minum dan membuat kerja-kerja lain.
b) Alhamdulillah - selesai makan atau minum.
c) Astagfirullah - ketika terlanjur membuat kesalahan.
d) Allahu Akhbar - ketika melihat peristiwa mengkagumkan.
e) InsyaAllah - ketika berjanji dengan orang lain.
f) Subhanallah - ketika melihat keindahan alam.
Walaupun anak-anak tidak memahami maksud ucapan-ucapan tersebut, jiwa dan fikiran sudah dilatih untuk mengenal kata-kata tauhid. Selain itu, anak-anak juga boleh juga diajarkan Asmaul-Husna serta pengertiannya disertakan contoh-contoh yang mudah difahami, sesuai dengan peringkat usia mereka.
Proses pembelajaran ilmu tauhid ini kemudiannya diteruskan dengan mempelajari Al-Quran, menghafaz surah pendek, menghafal hadis-hadis pendek dan nama para nabi dan malaikat serta membawa mereka menghadiri syarahan agama (sebagai pendedahan awal walaupun mereka tidak memahami). Pastinya, ibu bapa terlebih dahulu wajib mengetahui keyakinan yang betul dan perbuatan-perbuatan syirik, kekufuran dan kemunafikan. Jika mereka sendiri tidak tahu yang mana keyakinan yang betul dan mana yang syirik, sudah tentu anak-anak tidak akan dapat diajari dengan akidah tauhid.
5.3 Menyemai kefahaman aqidah secara tidak langsung.
Ibu bapa perlu mendidik dan mengasuh anak-anak dengan membuat perkaitan antara aktiviti harian dengan ilmu aqidah. Seperti peribahasa melayu, meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Misalnya:
a) setiap kali makan bersama tanamkan dalam jiwa anak-anak bahawa rezeki yang ada adalah pemberian Allah s.w.t.,
b) apabila melihat bencana yang berlaku di luar negara di kaca televisyen, ceritakan bahawa azab Allah s.w.t. di akhirat nanti lebih berat,
c) semasa memakai kasut, ajarkan supaya memulakan dengan kaki kanan kerana mengikut sunnah Nabi.
Manakala sedikit kesempatan yang ada di rumah perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk melakukan pendidikan secara tidak langsung ini. Semoga amalan aqidah yang disuburkan di rumah dan dalam didikan keluarga yang kecil boleh memandu anak-anak ini sehingga mereka dewasa kelak.
5.4 Ikhlas memperbanyakkan amalan sunnat
Bagi mengukuhkan akidah, banyak langkah yang boleh kita lakukan antaranya ialah melakukan banyak perkara sunat seperti membaca Al Quran, solat tahajud dan bersedekah. Dalam keadaan kita melakukan aktiviti begini, jiwa dan hati kita akan terasa tenteram serta tenang. Keadaan ini akan menggalakkan diri kita untuk menambahkan amalan-amalan sunat dan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan akidah. Walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilakukan, tapi dengan melakukan dengan permulaan yang sedikit dan melakukannya setiap hari adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.
5.5 Sentiasa memohon keampunan
Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT juga boleh mengukuhkan akidah seseorang. Dalam kehidaupan harian kita, kita tidak pasti sama ada kita melakukan dosa atau tidak. Contoh dalam melakukan amalan seperti Solat, belum tentu kita khusyuk sepenuhnya. Jadi ini boleh mendatangkan dosa atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan pahala. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang maksum dari melakukan dosa sentiasa memohon keamunan, inikan kita yang tidak terlepas dari melakukan dosa.
5.6 Memperbanyakkan ilmu pengetahuan akhirat dan duniawi
Selain itu, bagi mengukuhkan akidah kita mestilah sentiasa mendalami pengetahuan dan ilmu keagamaan kita agar pengaruh-pengaruh dari luar tidak dapat mempengaruhi kita. Dalam suasana dunia yang semakin canggih, kita tidak akan terlepas daripada menerima pelbagai pengaruh sama ada baik atau buruk. Kenyataannya sekarang, ramai manusia yang bertambah cerdik, bijak dan pandai sehinggakan kepintaran mereka itu digunakan untuk membuatkan diri mereka terkenal. Ada segelintir manusia yang sudah terlalu pandai menganggap merekasebagai tuhan, rasul dan utusan-utusan tuhan. Dengan cara mendalami pengetahuan agama, kita akan mampu untuk menepis kenyataan ini agar tidak terpengaruh dan dalam masa sama akan meningkatkan kepercayaan serta keimanan kepada Allah SWT.
6.0 KESIMPULAN
Mengukuhkan akidah bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, kerana ia perlukan kekuatan iman. Ini adalah asas utama dalam mengukuhkan akidah. Persoalan iman dan akidah mestilah ditangani dengan sebaik-baiknya agar pada masa akan datang, insan yang bergelar muslim akan mewarisi kehidupan yang dapat hidup dalam suasana yang penuh harmoni, aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak. Sekaligus dapat menghalang daripada membina umat yang berdepan masalah kerosakan akidah. Apa yang penting sekarang adalah peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak bermula dari rumah. Pendidikan asas agama penting untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan. Pendidikan dari rumah akan berlanjutan ke peringkat sekolah dan pada peringkat ini, guru-guru turut terlibat dalam mendidik anak-anak, terutamanya mendidik agama itu sendiri.
Secara keseluruhannya, semua pihak mesti mengambil bahagian dalam mengatasi permasalahan keruntuhan aqidah umat Islam ini dari sekecil-kecil peranan yang boleh dilakukan secara individu sehinggalah usaha yang dilakukan secara berjamaah (berkumpulan) . Ingin juga ditekankan bahawa bukan golongan remaja dan belia sahaja yang terlibat kerana usaha yang besar bermula dari langkah awal dan pastinya bermula dengan jiwa yang besar dalam ruang lingkup kehidupan yang berbeza, sebagai seorang anak, mahasiswa, golongan bekerjaya, ilmuan, ibu, bapa dan sebagainya. Aqidah atau iman di dalam diri sentiasa perlu dibajai, dijaga dan dipagar agar diri tidak terjerumus ke lembah-lembah kehinaan mahupun dikuasai oleh anasir-anasir luar yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan umat Islam.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
‘Terdapat segolongan manusia yang mentaai perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain yang melanggari batasan-batasan Allah. Perumpamaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan menduduki bahagian atas dan satu golongan lagi menduduki bahagian perut kapal tersebut. Apabila golongan yang berda di dalam perut kapal memerlukan air mereka meyuruh golongan yang di atas mengambilkanya untuk mereka sehinggalah mereka berkata : Adakah patut kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapati air yang banyak dengan melibangi bahagian bawah kapal ini. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini mereka akan karam kesemuanya.’
(riwayat Al-Bukhary dan At-Tarmidzi)
7.0 RUJUKAN
1. Al-quran surah Az-Zumar : 65
2. Al-hadis (riwayat Muslim, riwayat Al-Bukhary dan At-Tarmidzi)
3. Abdul’al Salim Makram, Aqidah Membina Peribadi Mukmin Sebenar, Pustaka Ilmi 1995, halaman 3.
4. Drs. Syahrin Nasution, Peranan Ibu Bapa Terhadap Anak, Darul Nu’man 1995, halaman 79.
5. http://munawwarah. blogdrive. com/.
6. Haji Abdul Hadi Haji Awang, Muqaddimah Aqidah Muslim, Penerbit Gedung Gua 1985, halaman 32.
7. Nor ‘Arifah Sabhan, Sifat 20 Panduan Lengkap Menujua Aqidah Yang Benar, Jasmin Enterprise, halaman 26.
8. Teh Faridah Binti Nazari, Masalah Kepincangan Sistem Pendidikan Di Malaysia : Sekularisme Sebagai Punca Permasalahan.

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ